Thursday, April 3, 2008

Buku 3 Kaedah Dan Statistik Penyelidikan

Buku 3 dalam siri buku Kaedah Penyelidikan dan Statistik Penyelidikan bertajuk Asas Statistik Penyelidikan: Analisis Data Skala Ordinal dan Skala Nominal. Ia merupakan kesinambungan buku 1 iaitu Kaedah Penyelidikan dan Buku 2 yang bertajuk Asas Statistik Penyelidikan.

Buku ini sesuai digunakan oleh mereka yang terlibat secara terus dengan penyelidikan. Kandungannya yang meliputi semua aspek penyelidikan, sesuai dijadikan bahan pengajaran dan pembelajaran bagi kursus-kursus yang berkaitan dengan reka bentuk dan statistik penyelidikan untuk peringkat pengajian ijazah asas dan ijazah lanjutan. Buku ini juga boleh digunakan oleh para penyelidik sebagai bahan rujukan semasa melaksana dan menulis laporan penyelidikan.

Selain itu, penerangan konsep penyelidikan, terutamanya reka bentuk, prosedur persampelan, pengukuran dan statistik penyelidikan dilakukan dengan menggunakan bahasa yang ringkas dan mudah difahami oleh pembaca pelbagai peringkat. Penghuraian konsep dilakukan secara mendalam dengan menggunakan contoh kajian dalam konteks tempatan dapat membantu pembaca menghayati setiap peringkat penyelidikan dengan lebih yakin. Latihan di akhir setiap bab dapat mengukuhkan kefahaman pembaca.

Buku Kaedah dan Statistik Penyelidikan ini boleh digunakan dalam bidang Penyelidikan Sains Sosial. Menurut Hart (1998), bidang Penyelidikan Sains Sosial termasuk bidang-bidang di bawah.

· Penyelidikan perniagaan
· Penyelidikan pendidikan
· Penyelidikan jantina
· Penyelidikan kebudayaan
· Penyelidikan ekonomi
· Geografi manusia
· Penyelidikan komuniti
· Penyelidikan sejarah sosial
· Literatur
· Penyelidikan organisasi
· Analisis polisi
· Penyelidikan politik
· Psikologi
· Penyelidikan agama
· Teori politik dan sosial
· Antropologi sosial
· Polisi sosial dan pengurusan
· Penyelidikan sosial
· Sosiologi
· Bimbingan dan kaunseling
· Penyelidikan alam sekitar
· Penyelidikan reka bentuk persekitaran dan perancangan bandar
· Penyelidikan media dan komunikasi

Pada era globalisasi dan pembelajaran sepanjang hayat ini, diharap buku ini dapat dimaanfaatkan sepenuhnya oleh para pembaca dari pelbagai bidang dan peringkat, dalam usaha merealisasikan matlamat dan hasrat mereka melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunan diri.
Bagi pembaca yang mempunyai sebarang pertanyaan dan komen, sila kemukakan kepada saya secara terus.


PENGHARGAAN

Orang pertama yang saya ingin ucapkan terima kasih ialah isteri saya Bok Kai Wa yang sokongan moral, cadangan dan humornya telah menjadi penggerak utama kepada penghasilan buku ini. Selain itu, penghargaan juga dituju kepada tiga orang puteri saya Yee Pei, Wan Xin dan Jing Xin, yang telah menjadi sumber motivasi kepada penulisan buku ini.

Ramai individu yang lain juga memainkan peranan yang penting dalam usaha merealisasikan buku ini.

Terima kasih kepada penerbit McGraw-Hill yang memberi peluang kepada saya untuk menghasilkan siri buku kaedah dan statistik penyelidikan ini. Tanpa usaha gigih dan kesabaran pihak penerbit McGraw-Hill, buku ini tidak dapat diterbitkan dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.

Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada Prof. Dr. Zakaria Bin Kasa, Dekan Falkulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia, dan Dato’ Hj. Abdullah B. Hj. Abdul Kadir, Pengarah Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia, yang dengan sudi dan ikhlas telah menuliskan prakata yang begitu bermakna kepada buku ini.

Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pembaca (reviewer) draf buku saya, iaitu Dr Rusli B. Ahmad, (Universiti Malaysia Sarawak), Dr Halimah Bt. Awang (UM) dan Dr Hong Kian Sam (Unimas). Cadangan dan komen yang ikhlas dan bernas mereka telah menyempurnakan kandungan buku ini.

Penghargaan saya juga dituju kepada Profesor David Howell dari Universiti Vermont, USA, yang secara tidak teragak-agak telah membenarkan saya untuk menggunakan lima jadualnya sebagai lampiran dalam buku ini.

Ucapan ribuan terima kasih juga ditujukan kepada unit penyelidikan dan pembangunan profesional, Bahagian Pendidikan Guru, terutamanya Dr Saffie, ketua unit R&D, En ..., En. Nasir, En. Nasaruddin, serta pegawai-pegawai BPG yang lain, Tuan Hj. Abdul Jalil B. Hj. Tahir, Pengarah maktab perguruan Gaya, Sabah, Pn Goh Lay Huah, ketua jabatan penyelidikan dan pembangunan profesional, maktab perguruan Gaya dan ahli jawatankuasa Seminar Penyelidikan Pendidikan Kebangsaan 2005, Tuan Hj. Saripuddin dan Tuan Hj. Isa Bin Osman, pengarah dan timbalan pengarah maktab Perguruan Ilmu Khas, Rakan sekerja saya Dr Tan Hui Leng, ketua jabatan R&D MPIK, Cik Rosinah Mahmood dan Cik Azlina Abdul Aziz, dan peserta-peserta Seminar Penyelidikan Pendidikan yang menjadi penggerak kepada pelancaran buku ini di Seminar Penyelidikan Pendidikan Kebangsaan 2005.

Ucapan terima kasih juga dituju kepada Profesor Datin Dr Sharifah Mat Nor, Pengarah Unit Dasar UPM, Profesor Othman bin Dato’ Mohamed, bekas Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM, Profesor Kamariah bt. Abu Bakar, Bekas Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM yang telah memberi motivasi kepada saya untuk menceburi bidang pnyelidikan.

Akhir sekali, ucapan terima kasih juga ditujukan kepada individu-individu lain yang secara langsung dan tidak langsung telah memberi sumbangan kepada penghasilan buku ini. Kepada pembaca yang memberi komen dan cadangan juga didahului dengan ucapan terima kasih.

Chua Yan Piaw


Komen dan Respons

Saya mengalu-alukan komen dan respons daripada para pembaca, terutamanya pengajar, pelajar dan penyelidik. Komen dan respons anda boleh dihantarkan terus kepada saya melalui e-mail di alamat: yanpiaw@pd.jaring.my. Terima kasih.

Dr Chua Yan Piaw
Serdang, Selangor

No comments: